"Ku serahkan segalanya hanya kepada-Mu Duhai Pemilik Cintaku..."
Satu ketika aku pernah kecewa dengan kehidupan dan rasa putus asa untuk terus melangkah mengejar cita-cita. Hinggakan pernah satu hari aku menyuarakan hasrat pada abah, hati ini teringin sekali untuk belajar di pondok dek kecewa kerana sistem pendidikan yang selama ini aku lalui, aku rasakan tidak mampu untuk aku menjadi faqih dalam bidang agama dan ternyata anggapan aku salah. Sungguh, aturan hidup yang DIA aturkan pada kita sangat indah. Aku mengerti betapa ni'matnya bila kita mendengar kata orang tua. InsyaAllah, pastinya ada keberkatan dalam hidup.
Alhamdulillah, di perbukitan ilmu UKM ini, aku berpeluang mengikuti majlis-majlis ilmu. Walaupun tidaklah banyak dek kemalasan dan keculasan menjaga waktu, namun ku gagahkan diri ini untuk terus mengejarnya. Letih, penat, rasa keseorangan hanya DIA yang benar-benar memahami. Sejauh mana aku atur derap langkah ini, aku yakin pasti ada yang menemani dan akan sentiasa berada dalam jagaanNya. Innallaha ma'i, Allahu musta'i.
Dan hari ini buat kesekian kalinya,
Aku teramat sekali rindukan bumi Syam walaupun belum pernah ke sana. Aku sangat ingin ke sana sama seperti keinginanku untuk ke Haramain. Di sana ramai orang-orang soleh, aku ingin bersama mereka walaupun aku bukanlah dalam kalangan mereka. Di sana ramai para masyaikh dan hubaib, aku teringin untuk menadah ilmu daripada mereka, menghadiri daurah dan talaqi kitab di masjid-masjid mahupun di jami'-jami' walaupun di sini aku tidaklah serajin mana. Cita-citaku besar iaitu aku ingin sekali boleh membaca dengan baik kitab-kitab turath dan kitab-kitab karangan ulama' besar serta memperdalami al-Quran dengan baik. Biarpun beberapa tahun sudah angan-anganku itu berlalu, aku masih mengharapkan untuk dapat menjejakkan kaki ke sana. Bila mendengar khabar umat Islam dari Syria, pergolakan dan sebagainya. Jiwaku merintih pilu. Sayu. Ya Allah, usah Kau musnahkan bumi itu sebelum sempat untuk aku ke sana. Derita mereka adalah kesakitan aku di sini. Kesakitan menanggung kerinduan yang tiada taranya. Kerinduan aku untuk bersama mereka di sana. Aku tidak punya banyak waktu lagi untuk berseronok-seronok. Allahu Rabbi...
Ya. Dari dulu aku seorang yang tinggi CITA-CITA.
Moga cita-cita dan angan-angan itu menjadi kekuatan untuk terus aku istiqamah berada pada jalanNya.
12 Sya'ban 1434H.
14.45 p.m.
Kolej Antarabangsa Ibu Zain, UKM.
No comments:
Post a Comment