Thursday, August 26, 2010

SIMPANG LIMA ISLAMIC SECONDARY SCHOOL

Lydia kelihatan tekun menelaah pelajaran di maktabah. Dua minggu lagi peperiksaan akhir tahun bakal berlangsung dan Lydia harap dia dapat buat yang terbaik. Dia ingin menebus kekecewaan abinya kerana tidak dapat masuk ke Darul Quran, Kuala Kubu Bharu. Dia agak terkilan sebenarnya namun baginya di SLISS ini juga tidak kurang hebatnya. Persaingan di sini juga boleh dikatakan sengit. Masing-masing mula tunjukkan taring untuk menjadi pelajar cemerlang dengan pointer yang tinggi, walaupun mereka akan menghadapi peperiksaan STPM pada tahun hadapan. Baru kini Lydia merasai betapa hebatnya keindahan tawakkal kepada Allah. Betapa dia bersyukur dapat tinggal bersama ahli bait yang baik-baik belaka dan bermacam fe’elnya juga dibimbing oleh guru-guru cemerlang yang begitu prihatin terhadap pelajar-pelajar mereka. Sejak kebelakangan ini jadualnya agak padat namun semuanya cukup teratur. Hamdallah… memang apa yang telah Allah aturkan cukup indah. Teringat dia madah seorang akhowat yang dikirimkan kepadanya tahun lepas.

Aku meminta kepada Tuhan setangkai bunga, ia kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu diberinya ulat berbulu. Aku sedih dan kecewa. Namun kemudian kaktus itu berbunga Indah sekali dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang sanagat cantik. Itulah jalan Tuhan, Indah pada masaNYA! Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan Dia memberi apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih, kecewa dan terluka. Tapi jauh di atas segalanya Dia sedang mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita. Serikandi Islam… Sahabatku! Kuatkan hati…

Bait-bait itu memberi quwwah kepada Lydia untuk terus bersemangat dalam meniti kehidupannya. Pada mulanya memang dia terasa malu untuk pergi ke sekolah. Memakai uniform sekolah merupakan perkara yang paling tidak disukainya. Apatah lagi apabila melihat sahabat-sahabat lain yang berjaya mendapat tawaran yang hebat-hebat sekaligus menempatkan diri mereka di IPT, dirinya terasa begitu kerdil. Siapalah dia jika nak dibandingkan dengan mereka. Namun perasaan itu telah terkubur bersama semangatnya untuk menuntut ilmu. Kini baru dia merasai kemanisan menuntut ilmu Lillah. Baru dia menyedari selama di SAMBEST dulu dia belajar hanya untuk periksa.

Tiba-tiba ingatannya melayang kepada Yusneeda sahabatnya yang kini berada di bumi Darul Quran. Apa khabar agaknya gadis itu? Begitu juga akhowat lain yang tercampak ke seluruh pelosok tanah air. Tidak lupa juga pada sahabat-sahabatnya yang bermusafir ke bumi Anbiya’ malah ke seluruh pelosok dunia. Mabruk ‘Alaikum! Sudah lama mereka saling tidak mengirimkan berita. Namun dia pasrah kerana dia yakin dengan Allah. Perpisahan yang terjadi itu pasti ada hikmahnya dan kini baru dia lebih merasai halawatul ukhwah apabila berjauhan. Halawatul ukhwah yang tidak pernah dirasai sebelum ini yang memberi quwwah kepadanya untuk terus ditsabatkan hati mengharungi mehnah perjuangan dalam kehidupan.

“Lydia… enti tak sihat, panas dahi enti ni. Na’uzubillah… pucat sungguh muka enti.” Mumtazah bersuara setelah menjamah dahi Lydia. “ Jom balik…” Mumtazah mengajak gadis itu untuk pulang. Penghuluwati SLISS itu memang seorang yang mengambil berat lagak seorang ibu kepada anaknya. Lydia hanya menggeleng walaupun dirinya dirasakan begitu letih. “Ukhti! Enti jangan paksa diri kalau dah tak larat. Tolong kesian sikit kat diri enti tu..” Mumtazah mula meninggikan suara. Geram betul dia dengan sikap keras kepala Lydia. Lydia tersenyum lalu memegang erat tangan Mumutazah. “Mum…syukran sebab amik berat pasal diri ana, tinggal sikit saja lagi benda yang ana nak siapkan ni. Enti balik dulu ye dan alang-alang enti sediakanlah makanan untuk ana. Air milo ngan biskut lemak pun kira okeylah.” Mumtazah tersenyum sekaligus hilang rasa amarahnya. Pandai sungguh Lydia memujuk. Sememangya begitulah selalunya. Pada Lydia, bukan selalu dia berpeluang menelaah di maktabah SLISS yang boleh dikatakan lengkap itu. Selalu dia tidak berpeluang kerana sibuk menghadiri mesyuarat Exco asrama, Badar untuk menguruskan program-program di sekolah mahupun asrama. Jadi jika terdapat masa yang terluang pasti gadis itu tidak melepaskannya.

“Dya! Boleh ana tengok hasil karya yang enti siapkan tu.” Lydia tidak menyahut. Matanya terpejam rapat namun mulutnya terkumat-kamit mengulang surah-surah yang telah dihafalnya. “Lydia!” Amalina melaung agak kuat setelah tiada respond darinya. Gadis itu mengangguk. Kalau dia tidak membenarkan pun pasti Amalina akan memujuknya sedaya upaya. Maklum benar dia akan fe’el rakan sebiliknya itu.

“Lydia! Rais mintak enti uruskan program Halaqoh Mahabbah untuk adik-adik Form 3 kita. Katanya program selepas PMR. Dia minta enti buat kertas kerja untuk persediaan musyawwarah dengan pihak pentadbir minggu depan.” Rais yang dimaksudkan ialah ketua Ikhwah merangkap pengerusi Badar SLISS. Terjegil biji mata Lydia mendengar butiran yang keluar daripada mulut Mumtazah yang baru pulang dari bilik urusetia asrama. “Apa? Cepatnya! Kata dua minggu lagi.” Mata sahabatnya itu ditatap lama inginkan kepastian.

“Enti jangan risau, enti mampu lakukan yang terbaik. InsyaAllah kami semua akan bantu.” Lydia berasa lega mendengar kata-kata yang terluncur dari mulut Amalina. Mumtazah dan ‘Izan mengangguk-angguk sambil tersenyum.

Ada kalanya kita ragu2 dengan ihsan Allah
Kerana kita kecewa dengan dugaan hidup yang tidak berkesudahan
Sedangkan Dia menyusun tiap keperitan itu
Agar kita tidak lupa untuk sujud di sisiNya
Allah menanti dan mengharapkan kehadiran kita malebihi kerinduan kita kepadaNya
Dia tidak pernah berhenti menunggu sebuah pengabdian dari seorang hamba
yang tiada rasa sangsi sedikit pun tentang kasih sayangNya

Allahu Ta’ala A’alam…

1 comment:

mujahidah said...

ada hikmah tersirat n tersurat Allah hantar kita ke sini..
agar kita bertemu,,saling berkenalan,,

sungguh..
jalan Allah itu cantik!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...