Wednesday, July 6, 2011

Bertemu Guru

Part 2

Setibanya di ibu kota, Basri terasa keseorangan. Rumah sewanya sunyi sepi. Jiran tetangga yang kurang dikenalinya pun tak bertanya khabar. Inilah akibatnya hidup di kota, pemergian jiran pun tak diketahui. Ingin sahaja Basri memberitahu mereka tetapi....
aah... tak perlulah. Sewaktu hidup pun tak bertanya khabar, inikan pula sudah mati. Basri sudah nekad, esok dia mesti Bertemu Guru untuk memulihkan akal, jasad dan rohaninya.

"Assalamualaikum!.."

Basri memberi salam depan pintu rumah gurunya.

"Wa'alaikumussalam... siapa tu? Tunggu sebentar ya.."

jawab gurunya. Tak lama kemudian pintu pun dibuka. Muncul seorang lelaki setengah abad, bertubuh tegap, berkulit cerah dan berpakaian kemas. Itulah salah seorang guru Basri. Seorang guru agama yang berasal dari Pattani. Rumah kuaters itu didiaminya sejak berkhidmat sebagai imam di sebuah masjid di pinggir ibukota.

"Apa khabar ustaz?"

tanya Basri sambil bersalaman dengan ustaz A.

"Baik... alhamdulillah. Anta bagaimana? "

katanya ringkas.

 "Saya sihat ustaz.... tapi ..."

tersekat kata-kata Basri. Ustaz A mempelawa Basri duduk dan memulakan perbualan.

"Kenapa ni.... ceritalah.."

katanya.

Basri pun menceritakan apa yang telah berlaku kepada isterinya. Dari mula sakit, berikhtiar berubat sehinggalah meninggal. Ustaz A hanya mendiamkan diri sambil mendengar dengan teliti.

"Saya ni bukan apa ustaz, saya rasa bersalah sangat. Saya buat rawatan di hospital, keluarga minta rawatan tradisional. Saya buat rawatan syifa di Bangi, katanya disantau orang. Saya beri rawatan tapi penawar yang saya beri gagal menyembuhkan. Saya mengurut tapi urutan saya itu gagal menyembuhkan. Bila saya mengurutnya, badan saya seperti kena karen dan lemah. Kemudian saya ikut sahaja orang tua berikhtiar cara kampung.. sehinggalah dia meninggal."

cerita Basri.

"Anta kena sabar... menerima ini sebagai satu takdir. Jangan salahkan diri sendiri. Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar. Allah jua yang menyembuhkan! "

kata ustaz A.

"Tapi ustaz... kenapa jadi macam ni. Saya ada anak kecil lagi. Saya dulu pun tiada ibu sejak dilahirkan. Saya dapat rasa apa yang akan berlaku pada anak saya di masa depan. Mereka akan kehilangan kasih sayang.. "

sampuk Basri. Ustaz A cuba menenangkan Basri tapi Basri terus menerus melayan perasaannya. Ustaz A fikir sesuatu dan berkata dengan nada yang tegas,

"Habis! Anta nak salahkan siapa?. Nak salahkan Allah! Ini semua kehendak Allah. Allah yang menghidupkan dan Allah jua yang mematikan. Mengapa anta tak boleh nak terima ini sebagai satu ketentuan Allah! Siapa anta?"

 Mendengarkan kata-kata itu hati Basri tersentak. Tanpa disedari air matanya mula mengalir membasahi pipi. Dia sedar dia telah terpesong dari landasan sebenar akibat melayan perasaan sendiri.

"Tapi ustaz... saya teringat sangat. Siang dan malam. Bila saya teringat, saya akan menangis."

kata Basri.

"Itu semua kerja syaitan. Orang yang telah mati tak mungkin dapat berhubung dengan kita lagi. Mustahil. Jangan dilayan bisikan syaitan itu. Sepatutnya, semakin anta teringatkan dia, semakin banyak anta sedekahkan al-fatihah untuknya. Pada ketika ini, dia amat memerlukan bantuan anta. Tambahan pula anak-anaknya masih kecil. Masih belum mampu untuk mendoakan ibunya. Jadi anta mesti teruskan kehidupan. Jaga kesihatan anta. Beri kasih sayang kepada anak. Berikan pendidikan agama secukupnya kepada mereka. Mereka menaruh harapan kepada anta. Sekarang antalah ibu, antalah ayah kepada mereka."

kata ustaz A lagi.

Mendengarkan kata-kata gurunya itu, Basri longlai. Dia mula sedar. Dia mula menerima inilah ketentuan Ilahi. Basri berazam untuk bangkit daripada kealpaan ini. Bangkit untuk membina hidup baru. Bangkit setelah Bertemu Guru. Cuma Basri tetap gelisah kerana terlalu rindukan anak-anaknya. Memang hatinya sentiasa terpanggil untuk menerima Panggilan Anak.

*Ihsan dari (penulis asal) : motivasi5k.blogspot.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...